Friday, February 17, 2012

SOLAT DIANCAM BISIKAN SYAITAN



Kita sedia maklum akan kewujudan iblis dan syaitan yang sifatnya begitu kuat memusuhi manusia.  Syaitan merasakan dirinya lebih mulia daripada manusia kerana syaitan berasal daripada api sedangkan manusia berasal daripada tanah. Syaitan telah berikrar di hadapan Allah SWT untuk menyesatkan anak-anak Adam. Matlamat Iblis dan syaitan menghasut dan melalaikan manusia tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyesatkan manusia, mengkafirkan manusia, memusyrikkan manusia dan menjadikan manusia sebagai ahli neraka.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hijr ayat 39:

Yang bermaksud:

Iblis berkata, “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, sesungguhnya aku akan memperindah segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semua.”

Diceritakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Uthman bin Abi al-‘As pernah datang berjumpa Nabi SAW lalu mengadu akan hal dirinya yang diganggu syaitan ketika solah dan menjadikan dirinya keliru dalam bacaan solahnya. Maka Rasulullah SAW bersabda:

ذَلِكَ الشَّيْطَانُ يُقَالُ لَهُ خَنْزَبٌ , فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَانْفُثْ عَنْ يَسَارِكِ ثَلاثًا وَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْهُ ".
Yang bermaksud: “Itu adalah syaitan yang bernama Khanzab . Jika kamu menyedari kehadirannya maka ludahlah (tanpa air liur) ke kiri sebanyak tiga kali sambil memohon perlindungan Allah daripada gangguannya.”

Lalu Uthman melakukannya dan syaitan tidak mengganggu solahnya lagi

Ketika kita mendirikan solat, Syaitan Khanzab ( خَنْزَبٌ ) biasanya akan menyerang dalam beberapa keadaan, antaranya:


1. ketika kita hendak berniat dan mengangkat takbir. 

Syaitan menjadikan kita sibuk atau tidak fokus kepada niat.  Sebab itulah ada orang yang mengangkat takbir kemudian menjatuhkan tangannya semula, kemudian mengangkat takbir sekali lagi kerana ragu-ragu. Kadangkala ada orang yang mengangkat takbir dengan gaya tangan yang pelik-pelik kononnya untuk lebih khusyuk dengan niatnya. Ada juga orang yang masih tidak selesai berniat dan mengangkat takbir walaupun imam sudah rukuk.  Tidak kurang pula ada orang yang mengulang-ulang bacaan al-Fatihahnya kerana tidak yakin.  Orang ini sebenarnya sedang dipermainkan oleh syaitan Khanzab.

2. teringat perkara lain ketika sedang solah.

Syaitan Khanzab akan mendatangi orang yang sedang solah lantas menghilangkan kekhusyukannya dengan membisikkan perkara-perkara di luar solah.  Sebab itulah, kadangkala kita teringat bermacam-macam perkara khususnya perkara duniawi.  Contohnya kita teringat kita ada menyimpan makanan dalam almari.   Kadangkala wajah seseorang terbayang-bayang di fikiran kita.  Kadangkala teringat isteri berpesan supaya singgah di kedai bila pulang dari masjid nanti untuk membeli kicap, bawang, tepung dan sebagainya.  Lintasan-lintasan fikiran seperti inilah yang boleh menyebabkan seseorang itu terlupa jumlah rakaat solahnya.

3. ragu-ragu sama ada mengeluarkan angin (kentut) ataupun tidak.

Adakalanya seseorang yang sedang bersembahyang terfikir sama ada dia telah terkentut atau sebaliknya.  Ini adalah keraguan yang dibisikkan oleh syaitan untuk mengganggu tumpuannya.  Dalam hal ini, Islam telah memutuskan agar seseorang tidak membatalkan solahnya sehinggalah ia tercium bau atau mendengar bunyi (kentut tersebut).

4. terdetik untuk memandang perkara lain ketika solat.

Tanpa disedari, kita mungkin pernah terpandang sesuatu yang berada di hadapan, di kiri atau di kanan ketika sedang bersembahyang. Ini menunjukkan solah kita tidak khusyuk dan kita sedang diganggu oleh syaitan. Syaitan sentiasa membisikkan kepada kita untuk melihat atau menjeling apa jua benda yang mengeluarkan bunyi atau melintas di sekitar tempat solah kita.  Ada masanya juga tangan kita bergerak untuk menggaru muka, hidung, telinga dan sebagainya walaupun tidak gatal.

Banyak lagi cara syaitan mengganggu ibadah sembahyang kita seperti membisikkan kita agar sembahyang dengan cepat, menjadikan kita mengantuk atau menguap, terasa hendak buang air, kerap terbersin dan sebagainya.

Kerapkah kita mengalami gangguan-gangguan seperti yang disebutkan tadi? Jika kerap, maknanya kita termasuk di kalangan orang yang mudah digoda atau dipermainkan syaitan.  Maka wajiblah kita berusaha untuk melawan godaan dan bisikan syaitan ini.



Terdapat pelbagai cara untuk membenteng diri kita dari gangguan syaitan khususnya dalam melaksanakan ibadah:

1.mengamalkan bacaan istiazah dan meludah ke kiri (tanpa mengeluarkan air liur) sebanyak tiga kali sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang telah dibacakan tadi.

2. melazimkan diri dengan solah secara berjemaah di surau atau di masjid kerana syaitan amat gemar dan mudah memperdaya orang yang solah secara bersendirian.

3. merapatkan saf ketika solah berjemaah kerana syaitan sangat suka menyelit di celah-celah saf yang renggang untuk mengganggu orang yang sedang bersembahyang.

4.membaca surah as-Sajdah dan sujud. Rasulullah SAW pernah menceritakan dalam sebuah hadis bahawa bacaan surah as-Sajdah diikuti sujud dapat mengusir syaitan.

5. memperbanyakkan istighfar dan zikir supaya hati tidak mudah lalai dan terpesong daripada mengingati Allah.

6. memperbanyakkan bacaan ayat Kursi dan Surah al-Nas.

7. mengelakkan diri daripada mendengar lagu atau muzik lebih-lebih lagi ketika menghampiri waktu solah.

Dengan mempraktikkan panduan ini mudah-mudahan kita lebih khusyuk ketika melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT tanpa diganggu bisikan syaitan.  Semoga ibadah kita lebih berkualiti dan terhindar daripada penyakit was-was.

1 comment:

  1. assalam. weh, sorry aku terfollow blog kau dua kali -_____- ada error doe tadi. ha ha. k. jgn perasan plak.

    ReplyDelete

music